“Jangan Campur Tangan Urusan Dalaman Kami!”

Posted on August 7, 2008

0


“Jangan campur tangan urusan dalaman kami!” Kata-kata ini tidak hanya berkumandang di negara kita sahaja. Bahkan, slogan ini kerap kali digunakan oleh kerajaan-kerajaan korup dan tertutup seperti Zimbabwe, China dan Burma apabila kelakuan mereka dipersoal pihak luar. Sejahat-jahat Amerika Syarikat, tak pernah pun Condoleeza Rice dan sekutu-sekutunya mengamuk apabila dicemuh orang asing. Boleh dikatakan sesiapa sahaja boleh menghentam nama baik Amerika Syarikat, baik penunjuk perasaan anti-perang di Peranchis mahupun makcik miskin yang rumahnya baru diroboh tentera Israel di Palestin.

Seteruk manapun kita mencarut nama Bush, apa yang pasti kita tak perlu risau akan ditangkap atau dituduh mencabul kehormatan lubang punggung lelaki lain. Alasan ‘jangan campur tangan’ ini sememangnya tak boleh dipakai, kerana sudah menjadi hak mana-mana individu atau kerajaan untuk mempersoal dan membidas perilaku pihak lain yang dianggap salah. Patutkah kita berdiam diri melihat rakyat Bosnia disembelih tentera Radovan Karadzic? Bolehkan kita pura-pura ‘takda apa’ sedangkan kaum kulit hitam di Darfur dibunuh oleh pengganas Janjawid atas nama Islam? Patutkah kita menghormati urusan dalaman Burma apabila “urusan dalaman” itu melibatkan penganiayaan sami-sami Buddha yang tidak bersalah?

Anjing pun akan menyalak apabila menyaksikan sesuatu yang tidak kena. Bolehkah kita sebagai manusia berakal dan berhati berdiam diri sahaja? Dalam kes penuduhan Anwar Ibrahim yang secara terang melibatkan konspirasi dan penganiayaan sistematik, beberapa kerajaan dan pertubuhan asing telah menyatakan rasa tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini.

“Jangan campur tangan dalam urusan dalaman kami!” desak segelintir pemimpin nasionalis kita. Memang sedih sekali apabila pihak asing lebih prihatin dan mengambil berat terhadap hal ehwal warganegara Malaysia daripada kerajaan sendiri.