Jalan di Terengganu Diperbesar Untuk Mercedes Benz

Posted on July 25, 2008

0


Jalan-jalan kampung di Terengganu bakal diperbesar bagi memuatkan kereta-kereta Mercedes yang baru dibeli pentadbiran eksekutif negeri itu. Jalan dan lorong-lorong kampung di Terengganu, yang rata-ratanya sempit dan penuh lubang, tidak lagi sesuai untuk digunakan setelah Menteri Besar Ahmad Said menggantikan kereta Proton Perdana kepada Mercedes Benz E200 Kompressor. Peruntukan juga bakal dibuat bagi kerja-kerja memperbesar pagar dan halaman rumah yang selama ini hanya dapat memuatkan Perodua Kancil ataupun seekor lembu korban, supaya Menteri Besar dapatlah akhirnya melawat penduduk kampung. Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk menampilkan imej prihatin kepada golongan paling miskin di negeri kaya minyak itu.

Seorang penduduk di Banggol Peradong, Nordin Atan, menyatakan rasa gembira ke atas khabar angin pembesaran jalan itu. “Kita di kampung sudah 10 tahun lamanya menunggu pembaikan jalan. Dengan pembelian kereta Mercedes berjumlah RM3.43 juta ini, kita berharaplah kerajaan negeri akan membelanjakan sedikit duit membaiki jalan di Banggol Peradong ni”. Setiausaha Persatuan Penjual Keropok Lekor Terengganu, Halimah Saad, menaruh harapan pembesaran jalan itu secara tidak langsung akan dapat melariskan jualan keropok lekor di tepi jalan. “Saya bersyukur Ahmad Said* telah dilantik sebagai Menteri Besar, kalau tidak ini semua mungkin tidak akan berlaku”, ujarnya sambil mencicah keropok lekornya dengan sos cili Maggi.

*Ahmad Said telah dilantik sebagai Menteri Besar oleh Sultan Terengganu menggantikan Idris Jusoh yang dipilih Perdana Menteri Abdullah Badawi dalam Pilihanraya Umum 2008.

Ihsan TakdaNama, agensi berita tidak rasmi Malaysia

Posted in: "News", Terengganu, UMNO