Kereta Elektrik Proton: Realiti Atau Hanya Omong Kosong?

Posted on July 24, 2008

11


Kami di kampunghouse rata-ratanya mengelak daripada membaca akhbar harian negara, terutamanya Utusan Malaysia, yang baru-baru ini didakwa Anwar Ibrahim sebagai “membodohkan orang Melayu”. Walaubagaimanapun, kadangkala perlu juga diteliti sejauh mana Utusan Malaysia, yang sepatutnya berperanan sebagai “Penyebar Fikiran Rakyat”, membutakan pembaca mereka daripada fakta yang sahih.

Baru-baru ini dilaporkan Perdana Menteri Abdullah Badawi telah mengarahkan pengeluar kereta nasional Proton untuk mengkaji kereta elektrik untuk dipasarkan dalam masa setahun. Utusan Malaysia, dalam keghairahannya melaksanakan peranannya sebagai pembesar suara kerajaan, telah meminta pandangan ahli ekonomi berkenaan pengeluaran kereta elektrik itu.

Sekiranya para wartawan Utusan Malaysia mempunyai akal yang berfungsi, sudah tentunya mereka akan meminta pandangan ahli saintis atau jurutera mekanikal yang pakar dalam bidang automotif elektrik, yang akan memberikan berita berat tetapi benar, bahawasanya pengeluaran kereta elektrik oleh Proton bukanlah satu perkara mudah yang boleh diselesaikan dalam hanya masa setahun. Kami rujuk sebuah laporan oleh Sistem Siaran Awam Amerika Syarikat (Public Broadcasting System), yang melaporkan usaha syarikat automotif terbesar dunia, General Motors Corp, untuk memasarkan kereta elektrik di negara termaju di dunia itu. Antara langkah yang diambil syarikat tersebut ialah kerjasama dengan 30 syarikat utiliti di AS bagi menyelesaikan masalah infrastruktur yang mungkin timbul apabila kereta elektrik dikeluarkan dalam jangkaan masa 2 tahun.

Sekiranya syarikat automotif terbesar di dunia, yang mempunyai khidmat pakar terbaik, hanya dapat memberi jangkaan 2 tahun, bagaimana Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia, Haim Hilman Abdullah, boleh menaruh harapan Proton – sebuah syarikat kecil yang belum pun dapat meningkatkan kualiti kereta biasa mereka – akan dapat mengeluarkan kereta elektrik tahun depan? Menurut Haim, Proton juga disarankan agar meluaskan pasaran penjualan kereta bukan sahaja di negara ini malah di peringkat antarabangsa sebagai usaha meningkatkan pengeluaran yang akan dapat membantu mengurangkan kos pembuatan kereta elektrik itu. Mungkin Haim tidak tahu, tetapi Proton sebenarnya sudah lama cuba menembusi pasaran antarabangsa, baik di UK, Turki, mahupun UAE, rata-ratanya tanpa kejayaan yang memberangsangkan. Kalau kereta biasa pun Proton tak dapat jual, bagaimana pensyarah ekonomi universiti ini boleh yakin Proton dapat menjual kereta elektrik yang merupakan teknologi perintis?

Seorang lagi pakar ekonomi, Pengerusi Pusat Dasar Kajian Umum, Ramon Navaratnam dipetik sebagai menyifatkan langkah yang diambil kerajaan sebagai satu kejayaan yang besar dan penghasilan kereta elektrik itu merupakan satu pengenalan baru yang bakal memberi kesan positif kepada rakyat. Kejayaan besar apa yang nak disifatkan apabila kereta elektrik itu belum pun dapat dihasilkan?

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha’ani Abdullah dipetik sebagai berkata “pengeluaran kereta elektrik oleh Proton akan dapat membantu rakyat mengurangkan kos hidup yang semakin meningkat. Beliau turut mengingatkan kepada syarikat pengeluar kereta tempatan itu agar mengenakan harga kenderaan tersebut pada paras yang berpatutan bagi membolehkan setiap lapisan masyarakat mampu memilikinya.

Dalam laporan PBS yang sama, harga kereta elektrik General Motors dijangka dalam lingkungan AS$ 30 000 – AS$40 000, jauh lebih mahal dari kereta biasa. Apakah kemungkinan Proton – yang selama ini hanya dapat bersaing dengan bantuan tarif oleh kerajaan – akan berupaya mengenakan harga yang berpatutan, apabila kos kereta elektrik, seperti mana-mana teknologi baru, semestinya akan melambung tinggi? Inilah yang terjadi apabila akhbar seperti Utusan Malaysia tidak lagi tahu menganalisa dan mengkritik (mungkin juga tidak pernah tahu), tetapi hanya pandai menjaga hati mereka yang memegang kuasa.

Posted in: Society