Hentikan Kekejaman Terhadap Bendera Pilihanraya

Posted on February 22, 2008

2


Pilihanraya Malaysia seringkali dihiasi bendera parti-parti politik yang ditanam dan dikibarkan di merata-rata tempat, walaupun setakat ini tidak ada bukti sahih bendera-bendera ini boleh menjana undi bagi parti tersebut. Mengapakah perlu dikibarkan bendera politik dalam masa pilihanraya? Macamlah kita semua masih tak kenal UMNO, Pas, DAP mahupun Keadilan. Lagipun, undi-undi kita bergantung kepada kebolehan calon-calon yang bertanding, bukannya bendera parti mana yang lebih bersinar-sinar.

Di Terengganu baru-baru ini, aktivis parti masing-masing telah bergelut apabila mendapati bendera yang disayangi dan dicintai lebih daripada isteri sendiri telah dirobohkan oleh parti saingan. Difahami ada yang menitis air mata melihat bendera mereka dikoyak rabak dan dicemari kesan tapak kasut Bata. Di manakah perikemanusiaan kita? Bagaimana kita hendak membangunkan tanahair tercinta sekiranya kita saling membenci bendera parti politik masing-masing? Hakikatnya, setelah 50 tahun merdeka, kita sepatutnya lebih matang dan tidak lagi perlu mencemarkan pemandangan sekitar dengan menanam tiang-tiang bendera setiap pilihanraya. Kalau tangan dah gatal sangat, lebih baik sekiranya ditanam pokok-pokok angsana ataupun meranti yang bukan sahaja boleh dijadikan tempat berteduh, bahkan dapat menyerap karbon dioksida yang di masa hadapan berpotensi menjana pendapatan lumayan akibat fenomena ‘pemanasan sedunia’.