Tak Puas Hati Dengan Iklan Petronas

Posted on January 29, 2008

2


Saya dengan nada malu terpaksa mengaku agak ketinggalan dalam bidang teknologi maklumat, dan baru sekarang ni saya menyertai dunia Youtube yang rasanya dah berdekad-dekad diketahui orang lain. Oleh kerana saya berjauhan dari Malaysia,dengan bantuan Youtube baru ni lah saya dapat menonton dengan julung-julung kalinya, iklan-iklan Petronas dan syarikat besar lain yang sangat digemari di negara kita. Iklan-iklan ini sudah menjadi satu bidang seni tersendiri, mungkin disebabkan ketiadaan budaya filem seni (arthouse film) tempatan yang kuat. Kita di Malaysia terpaksa berhadapan dengan filem-filem komersial Melayu yang nilainya lebih rendah dari burger McDonald, jadi nasib baiklah kita ada iklan-iklan 3 minit ini yang dapat menghiburkan tanpa penontonnya merasa tolol.

Walaubagaimanapun, ada juga pihak yang tak berpuas hari dengan iklan-iklan ini, terutamanya iklan Petronas sempena kemerdekaan ke-50. Iklan yang memaparkan murid-murid sekolah rendah Melayu dan Cina saling suka-menyukai ditentang oleh segolongan pihak yang membantah apa yang mereka lihat sebagai meniru budaya asing, budaya liberal, maksiat, lupa Tuhan…ya lah, isu-isu basi yang kita dah terlalu biasa dengar. Tak faham saya macam mana iklan yang sangat tulus dan ikhlas itu boleh ditafsir sebagai “liberal”, “menggalakkan maksiat” dan “mempergunakan kanak kanak”. Ada pula yang tak puas hati iklan-iklan Merdeka ini berkumandang dalam bahasa Inggeris. Selepas 50 tahun Merdeka, ada lagi di kalangan kita yang masih merasakan kita kena menolak semua pengaruh Inggeris sebagai bukti yang kita ni sudah merdeka.

Bukan ke Kemerdekaan kita dicapai hasil rundingan dan usaha pemimpin-pemimpin kita yang berpendidikan tinggi dan rata-ratanya fasih berbahasa Inggeris? Kalau tak kerana mereka, beribu-ribu rakyat Malaysia mungkin terbunuh dalam peperangan menuntut Kemerdekaan seperti yang berlaku di Indonesia. Tetapi kita di Malaysia bertuah kerana dapat menggunakan pen dan bukannya pedang (atau keris) untuk menjamin kemerdekaan kita. Saya, seperti anda semua, mestilah secara semulajadi akan merasa geram dengan pihak-pihak berotak kecik ini, yang seakan-akan telah menyedekahkan pemikiran mereka kepada spesis kambing. Tetapi, kita sepatutnya bersimpati dengan mereka, dan keluarga mereka, kerana setelah 50 tahun merdeka, dan di abad ke -21 pula tu, masih ada rakyat Malaysia yang lebih sesuai hidup di zaman Melaka sebelum Portugis datang menjajah.

Posted in: Petronas