Memo Hindraf Hanya Satu Jenaka, Jelas Kawan Karib

Posted on December 15, 2007

0


Berikutan penahanan lima pemimpin Hindraf mengikut ISA baru-baru ini, seorang kawan karib P. Uthayakumar telah tampil ke hadapan untuk menjelaskan bahawa memo itu hanyalah sekadar sebuah lawak dan tidak bertujuan diambil secara serius. Menurut sumber-sumber yang tidak boleh dipercayai, Uthayakumar bercita-cita menceburi bidang lawak tempatan yang selama ini dimonopoli orang Melayu, antaranya pelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Senario dan Hishamuddin Hussein Onn.

Ramai yang terkejut dengan reaksi tegas Abdullah Ahmad Badawi, yang selama ini lebih popular dengan nama glamornya, Encik Baik (Mr Niceguy) memerintahkan penahanan kelima-lima pemimpin Hindraf yang ada hati menjadi pelawak antarabangsa itu. Ada pihak yang menyalahkan filem-filem Tamil yang seringkali memaparkan adegan terlebih dramatik, seperti aksi tumbuk menumbuk dan meminum racun tikus untuk mengambil nyawa sendiri. Uthayakumar dan kuncu-kuncunya dikatakan terpengaruh dengan cerita-cerita Tamil terlebih dramatik itu, sehingga menyebabkan mereka menulis memo yang antara lain, menuduh kerajaan berlagak seperti gangster Tamil dengan menindas dan membunuh orang Hindu tanpa segan silu.

Persatuan Orang Dari Agama Hindu (PODAH) merancang satu tunjuk perasaan bagi menggesa kerajaan mengharamkan filem-filem Tamil daripada ditayangkan di saluran satelit Astro Vaanavil. Tindakan ini diharap dapat menghindar orang Tamil lain daripada memalukan diri dan negara sendiri di masa hadapan. Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa memo Hindraf ini bukan adegan pertama yang menjatuhkan air muka Malaysia di mata masyarakat antarabangsa. Peristiwa perlucutan Anwar Ibrahim, diikuti dongeng main buntut, tilam air mani dan penglibatan entah-dari-mana selebriti Azwan Ali yang tak kenal malu, dipertontonkan di seluruh pelusuk dunia. Adegan letak jawatan main-main-saja Mahathir Mohamad dengan tangisan palsunya juga telah meletakkan Malaysia sebagai antara negara paling dramatik di dunia.

Ihsan TakdaNama – berita tidak rasmi Malaysia

Posted in: "News"