Ahli Politik Malaysia Dikagumi Dunia

Posted on November 30, 2007

0


Ahli politik Malaysia dikagumi Mafia Itali kerana kebolehan mereka menggertak rakyat biasa dan memaki hamun pemimpin dunia yang jauh lebih berpengaruh seperti George W. Bush, Tony Blair dan baru-baru ini, Ketua Menteri Tamil Nadu. “Walaupun saya telah menceburi bidang Mafia selama lebih 30 tahun, saya masih terkencing dalam seluar apabila berdepan dengan ahli politik Malaysia,” akui ketua Mafia Itali, Tony Roma dengan nada malu.

Baru-baru ini, mafia Itali telah menghantar kontinjen seramai 90 ahli kumpulan gelap itu ke Malaysia untuk mendalami taktik-taktik yang digunakan oleh ahli politik untuk menggerunkan orang awam. Walaupun begitu, mereka bukan sahaja mahu belajar dari parti kerajaan, malah ingin menimba ilmu dari anggota parti pembangkang. Ahli mafia begitu terpegun dengan cara parti Pas mempergunakan agama sebagai alasan untuk membolehkan semua tindakan mereka, taktik yang mungkin berguna di negara Katolik itu. Di samping itu, mereka ingin mengetahui bagaimana ahli Parlimen DAP, terutama sekali Teresa Kok, dapat mempertahankan diri dengan menjerit-jerit di Dewan Rakyat. “Kaedah jeritannya amat berkesan dan boleh dipakai oleh ahli Mafia wanita,” jelas Tony Roma.

Apabila ditanya apakah yang membuatkannya tertarik kepada Malaysia, ketua Mafia itu menjelaskan, rakyat Malaysia yang peramah dan bersopan-santun telah membuatkan hatinya tertambat. “Anda semua tidak bengkeng dan cepat marah seperti orang Itali. Sekiranya kami memerintah di sini, aduhai, senangnya hidup kami,” akuinya lagi.

Ihsan TakdaNama agensi berita tidak rasmi Malaysia

Posted in: "News"