Nazri Aziz Digesa Kawal Emosi

Posted on November 29, 2007

1


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz digesa untuk mengawal perasaan emosinya bagi mengelak kejadian insiden amuk seperti yang ditonjolkan tanpa rasa malu di Dewan Rakyat, Disember 2005, apabila beliau memekik-mekik perkataan ‘bloody racist’ berulang-ulang kali. Baru-baru ini, Nazri Aziz telah memberi amaran kepada Ketua Menteri Tamil Nadu yang membangkitkan insiden protes Hindraf, berhubung layanan dan hak rakyat Malaysia golongan Tamil.

Beliau memberi “peringatan”, yang sebenarnya lebih mirip kepada satu ancaman, supaya Ketua Menteri itu tidak campur tangan dalam urusan Malaysia, yang pada fikirannya “tiada kena mengena dengan Tamil Nadu”. Sudah menjadi satu hakikat dalam era globalisasi ini, bagi negara-negara saling “campur tangan” dalam hal ehwal negara lain, terutamanya apabila hak-hak rakyat mungkin dipertikai. Ini adalah bagi memastikan setiap kerajaan mentadbir secara saksama. Patutkah kerajaan Malaysia berdiam diri sekiranya Israel melanggar hak rakyat Palestin? Adakah wajar dunia berdiam diri ke atas perlakuan Amerika Syarikat terhadap Iraq dan negara miskin lain, hanya kerana tidak mahu dituduh “campur tangan”?

Kesanggupan negara-negara Asia Tengara (ASEAN) untuk tidak “campur tangan” ke atas urusan rejim Burma telah menyebabkan ramai sami-sami Buddha ditahan dan dibunuh. Nazri Aziz sepatutnya sedar bahawa Ketua Menteri Tamil Nadu itu hanya bertindak sebagai seorang manusia prihatin. Nazri Aziz sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sepatutnya menyiasat sekiranya dakwaan 20 000 rakyat kita ini – yang sebenarnya mewakili jumlah golongan Tamil yang lebih besar – adalah sahih. Sekiranya beribu-ribu rakyat Malaysia golongan Melayu sendiri masih tersisih, walaupun secara rasminya diberi lebih perhatian, apatah lagi golongan Tamil?

Nazri Aziz digesa agar jangan lagi memalukan rakyat Malaysia amnya, dan golongan Melayu khasnya, dengan karenah bongkaknya itu. Mukanya yang seperti lanun dan kepala botaknya yang seakan-akan ahli samseng memang mengerikan, tetapi apa yang lebih menakutkan bagi ramai rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang berpendidikan tinggi dan agak berada, ialah tahap emosi dan inteleknya yang kadangkala kelihatan kurang stabil.