Rakyat Malaysia: Pakar dalam Menyambut Hari Raya dan Hari-Hari Lain

Posted on October 14, 2007

1


Rasa-rasanya tiada bangsa lain yang lagi pakar dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri di dunia ini dari bangsa Malaysia. Kemeriahan Hari Raya memang tidak boleh ditandingi, maklumlah setelah sebulan terpaksa menahan makan, kita, yang memang kaya dengan segala jenis lauk-pauk, mestilah menunjukkan kehebatan kita di meja makan. Walaupun makanan seperti lemang, rendang tok dan dodol mengambil masa berjam-jam untuk dibuat, dan kena pula dikacau-kacau, macamlah orang takda kerja lain, ia tetap dihidangkan dengan bangganya di hari istimewa ini, yang setahun hanya datang sekali.

Walhal di masyarakat Islam lain, baju yang dipakai di hari mulia ini selalunya putih ataupun hitam, masjid-masjid di Malaysia menjadi ceria dengan seluruh pelusuk warna baju Melayu dan sampin, ada pula yang coraknya berpetak-petak, berbulat-bulat, dan berkilau-kilau sampai sakit mata memandang. Songkok yang resminya hitam, pun telah ditukar menjadi berwarna, begitu sukanya orang Melayu kita dengan warna selain hitam putih. Televisyen kita berkumandang dengan takbir raya yang sedap betul didengar, mengingatkan kita keistimewaan hari ini. Inilah hari untuk kita bersuka-ria bersama keluarga dan kawan rapat, hari untuk kanak-kanak kecil berpura-pura kaya dengan mengesek kocek mereka yang penuh dengan duit raya syiling seringgit.

Orang Malaysia saja agaknya yang betul-betul beraya sampai sebulan, mengadakan rumah terbuka pada hujung minggu. Hari Raya bukan sahaja disambut orang Islam, tetapi orang bukan Islam di Malaysia pun turut serta memeriahkan bulan Syawal ini dengan bertandang sama ke rumah-rumah terbuka. Rakyat Malaysia, baik Melayu Cina India Melanau Kadazan Iban mahupun “lain-lain”, memang handal dalam bab raya-meraya. Walaupun kita suka betul mengkritik negara dan bangsa sendiri, tapi sebenarnya kita bersyukur sangat yang majoriti orang Malaysia sebenarnya gembira hidup di sisi satu sama lain, tak kisahlah warna kulit dia putih ke, coklat ke, kuning ke, hitam ke, mahupun tuhan yang dia sembah.

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Di sini kampunghouse ingin meminta maaf zahir dan batin ke atas mereka yang telah tersinggung dengan tulisan kami sepanjang ini. Sorry ya?

Posted in: Society