PAS – Protes Apa Saja

Posted on August 17, 2007

0


Di Malaysia, dua golongan yang paling gemar memprotes ialah mereka yang duduk berdekatan lebuhraya bertol, dan mereka yang terlampau benci dengan aktiviti bergelar “maksiat”. Parti-parti Tahun Baru, yang penuh dengan budak remaja mahupun yang dah berbaya, seringkali dibanjiri kumpulan protes yang lebih rela berpekik-pekik membantah “maksiat” daripada menari dan bergembira macam nak gila. Apabila konsert-konsert diadakan di Malaysia, para-para pembantah profesional ini dengan tangkas menghantar surat bantahan supaya konsert itu dihentikan dengan serta-merta.

Kami di kampunghouse memang anti-arak, tetapi bukan semua konsert mesti diiringi arak. Apalah salahnya sekiranya peminat konsert mendengar lagu dan menari sikit sikit? Ini jauh lebih baik daripada menghidu gam dan cat seperti yang berlaku di Kelantan dan kawasan-kawasan “bebas maksiat” lain yang begitu membosankan buat para remaja yang menetap di situ. Baru-baru ini, PAS telah membantah diadakan konsert Gwen Stefani di Kuala Lumpur. Mengikut fikiran mereka, berhibur itu adalah seperti jenayah yang perlu dibanteras dan dilarang. Kalau boleh nak aja dirotan cukup-cukup budak budak yang suka sangat bergembira dan tersenyum-senyum ni. Pada fikiran PAS, orang-orang yang pergi ke konsert semuanya mabuk dan suka bersetubuh.

Kenapa pula PAS tidak pernah memprotes laki-laki yang gatal mencabul maruah perempuan? Kenapa PAS tidak pernah membantah anggota RELA yang memetik gambar wanita kencing di dalam tahanan? Tak pernah pula kita dengar PAS cuba memikirkan aktiviti rekreasi yang berfaedah dan menghiburkan, selain mendandang lagu nasyid. Ini mungkin sukar untuk diterima, tetapi bukan semua rakyat Malaysia terhibur dengan artis berkopiah menyanyikan lagu yang sarat dengan nasihat. Cukuplah PAS, janganlah asyik membantah sahaja. Simpanlah tenaga anda untuk isu-isu yang lebih penting.

Tagged: