Berita Televisyen Malaysia Agak Lembap

Posted on June 28, 2007

0


Kami di kampunghouse ketagih berita. Berita merupakan unsur kenegaraan yang amat penting kerana ia memberi peluang kepada kita semua menghayati dan secara tidak langsung mempengaruhi peristiwa-peristiwa di negara dan dunia. Lebih penting lagi, menonton berita dapat menghindari sindrom katak bawah tempurung yang merupakan tanda utama orang mundur.

Walaubagaimanapun, kami tidak berpuas hati dengan kualiti berita televisyen Malaysia, kerana ia tidak menampakkan ciri-ciri tangkas, efisyen dan cekap. Masalahnya, pertuturan pembaca berita di Malaysia rata-ratanya agak lembap. Ditambah pula dengan bunga-bunga bahasa dan propaganda (yang sudah menjadi resmi di negara ini), program berita kita lebih mirip kepada satu lagi syarahan kurang menarik dari ahli politik tempatan yang bilangannya memang sudah terlalu ramai.

Di Australia, terdapat satu stereotaip yang membezakan gaya pertuturan masyarakat negara itu berdasarkan kedudukan geografi mereka. Penduduk di Queensland dan Northern Territory yang beriklim tropika dikatakan bertutur lebih lembap berbanding warga Australia di Victoria dan New South Wales di selatan. Adakah pembaca berita Malaysia lembap kerana kedudukan kita di garisan Khatulistiwa? Stereotaip ini sebenarnya tidak lebih dari satu lagi cacian warga Australia di negeri belah selatan yang kaya ke atas penduduk di negeri utara yang lebih miskin. Teori ini juga senang disangkal apabila kita meneliti gaya pertuturan rakyat Indonesia yang amat pantas, selaras dengan masyarakat negara-negara iklim sejuk seperti Jepun, Jerman, Amerika Syarikat dan Sepanyol. Cara penyampaian berita di Malaysia, baik di TV3, RTM mahupun Berita Astro, lebih sesuai untuk program dokumentari.

Posted in: Society