Malaysia Boleh Menerjun

Posted on April 15, 2007

3


Antara peninggalan Mahathir Mohamad yang paling ketara sebagai Perdana Menteri ialah semangat Malaysia Boleh. Slogan ini, yang pada asalnya bertujuan meningkatkan keyakinan kita, telah termutasi kepada sebuah keghairahan untuk mencipta rekod-rekod yang kurang membanggakan. Genap sebulan yang lalu, sindrom Book-of-Records ini datang balik dengan pembukaan kompleks mahkamah terbesar di dunia. Kini, penyakit yang susah diubati ini menghantui kita lagi dalam bentuk ekspedisi terjun bebas Kutub Utara Putera Umno, yang kononnya akan “melakar sejarah” sebagai “pasukan remaja purata umur 21 tahun pertama terjun di Kutub Utara”.

Rekod yang agak payah untuk disebut ini bertujuan memberi iltizam kepada bekas-bekas mat rempit yang kini sudah insaf dan malu dengan perangai mereka yang kebudak-budakan itu. Walaupun kami bersetuju dengan pendirian Putera Umno untuk memberi peluang kepada budak-budak terpesong ini, kami merasakan ekspedisi ini lebih membuang duit daripada memberi manfaat. Mana datangnya duit yang membolehkan bekas mat rempit ini melompat dari helikopter? Sekiranya ia dibiayai oleh seorang jutawan, ataupun bekas Perdana Menteri kita sendiri yang terlalu suka dengan acara-acara memecah rekod ini, takda hal. Walaubagaimanapun, sekiranya ia dibiayai cukai rakyat, kami percaya banyak lagi cara yang boleh memberi dorongan kepada belia Malaysia.

Bukankah lebih baik sekiranya bekas mat rempit ini diberi peluang memberi balik kepada masyarakat yang selama ini terpaksa merana melihat aksi tidak senonoh dan memandang muka berminyak mereka? Apa salahnya sekiranya mat rempit ini menjadi sukarelawan dan membantu golongan yang memerlukan, baik orang tua, yang kurang upaya, yatim piatu ataupun yang papa kedana. Di Australia, aktiviti sukarelawan merupakan sebahagian besar daripada masyarakat negara itu. Para belia berpeluang menjadi sukarelawan seperti anggota penyelamat laut, bomba simpanan, penderma darah, guru tusyen dan lain lain. Aktiviti-aktiviti seperti ini lebih bermakna daripada acara lompatan di Kutub Utara.

Posted in: Malaysia Boleh!