Pramugara Terlampau dan Pramugari Melampau

Posted on March 9, 2007

15


Beberapa tahun yang lalu, Malaysia digegarkan dengan kontroversi video lucah amatur yang dibintangi seorang pramugara Malaysia Airlines. Adegan-adegan bersifat seks sememangnya akan mendapat liputan luas di mana-mana negara, tetapi di Malaysia, sebuah masyarakat yang berpura-pura anti-maksiat tetapi sebenarnya ketagih dengan lucah, video itu menjadi topik perbualan hangat orang ramai.

Para makcik berdoa agar anak kesayangan mereka tidak terpesong ke jalan serong manakala budak-budak remaja yang berjerawat dan bernafsu tinggi berpusu-pusu membeli DVD video itu. Dalam pada masa yang sama, lelaki tua dan miang mengharap-harap agar pramugari Malaysia Airlines mencontohi teladan tidak senonoh rakan sejawat lelaki mereka itu. Dalam kontroversi ini, mangsa sebenar ialah anak kapal Syarikat Penerbangan Malaysia, yang rata-ratanya sopan, ramah dan kuat bekerja. Mereka bukan sahaja terpaksa menangggung malu melayan orang dalam pakaian seragam hijau-biru yang tidak menarik, tetapi disamakan pula dengan pelacur dan pelakon video lucah.

Baru-baru ini, media tabloid Australia dikejutkan dengan pendedahan seorang pramugari Qantas yang melakukan seks rambang dengan pelakon (agak) terkenal Ralph Fiennes di dalam tandas sewaktu penerbangan ke India. Ini menimbulkan banyak tanda tanya, antaranya bagaimana mereka boleh bersetubuh dalam tandas kapal terbang, yang terkenal dengan saiznya yang terlalu kecil sehinggakan nak buang air besar pun payah? Kontroversi hangat sebegini, ditambah pula dengan tarikan ‘mile-high club’, memberikan imej seksi kepada perjalanan kapal terbang, yang pada realitinya sempit, sesak dan membosankan. Mungkinkah ini satu konspirasi oleh syarikat penerbangan untuk memberikan ilusi glamor untuk menarik lebih ramai pelanggan?

Posted in: Sex & Malaysians