The Sick In Secular Sweden

Posted on February 18, 2007

3


Di masa-masa cuti ni, kami suka meluangkan masa dengan membaca. Takda kerjalah kami nak membaca majalah sampah seperti Mastika, ataupun novel jalanan Melayu yang jalan ceritanya mendayu-dayu dan sebak. Kami baru saja habis membaca sebuah memoir oleh Ulla-Carin Lindquist yang bertajuk ‘Rowing Without Oars’ dalam terjemahan Inggerisnya.

Ulla-Carin Lindquist merupakan seorang wartawan dan penyampai berita stesen televisyen utama Sweden sebelum beliau didiagnos menghidap ‘amyotrophic lateral sclerosis’ (ALS), sebuah penyakit sistem saraf yang seringkali menjangkiti mereka yang aktif dan sihat-sihat belaka. ALS membawa maut dan sampai sekarang belum dapat diubati. Memoir ini mencatatkan detik-detik terakhir Ulla-Carin, dari saat pertama beliau mula syak ada yang tak kena, apabila tangannya begitu lemah sampaikan tak dapat mendayung perahu, sehinggalah saat beliau meninggal dunia pada tahun 2004, lebih kurang setahun selepas diberitahu beliau menghidap ALS.

Kesulitannya diceritakan dengan nada bersahaja dan lucu, tidak pula cuba meraih simpati seperti novel-novel dramatik Melayu. Walaupun pembaca sedar kesedihan dan kepayahan yang dipikul, Ulla-Carin sentiasa bersikap positif dan penuh dengan harapan. Apa yang kami kagum sangat ialah sistem perubatan Sweden yang amat prihatin terhadap mereka yang sakit dan kurang upaya. Ulla-Carin dibantu bukan oleh satu, dua, tetapi lebih dari empat jururawat dan penjaga tanggungan kerajaan yang sentiasa memberikan rawatan dan sokongan moral kepadanya. Hospital di Sweden dilengkapi pasukan trauma kanak-kanak yang berpengetahuan tinggi dalam memberi sokongan psikologi kepada anak-anaknya yang masih kecil dan belum dapat memahami keadaan tenat ibu mereka.

Kerajaan Sweden membiayai sepenuhnya kos melengkapi rumah mereka dengan lif dan tanjakan (ramp) bagi membolehkan Ulla-Carin bergerak dalam kerusi rodanya. Mereka juga menghormati maruah intelek; apabila tangan dan jari Ulla-Carin berhenti berfungsi disebabkan ALS, beliau disediakan dengan komputer canggih yang dikelolai hidungnya supaya beliau dapat berhubung dan mencatatkan isi fikirannya. Inilah kehebatan sebuah negara yang bukan sahaja kaya, tetapi begitu mengambil berat terhadap warganegaranya. Walaupun Sweden secara dasarnya sebuah negara sekular, tetapi asas sistem politik dan sosial mereka sealiran dengan ajaran Islam, yang mengutamakan egalitarianisme (kesaksamaan antara yang kaya dan yang papa), memperjuangkan hak-hak asasi – baik bagi lelaki, wanita mahupun kanak-kanak – dan menitikberatkan kemajuan dari segi santifik dan kebudayaan.

Sweden mencatatkan skor 0.21 dalam sistem ‘Gini coefficient’ yang menilai jurang perbezaan antara golongan miskin dan kaya, di mana 0 menunjukkan tiada jurang manakala 1 menunjukkan jurang paling tinggi. Kaum wanita di Sweden setaraf dengan lelaki, dan bilangan wanita di Parlimen Sweden (45%) lebih kurang sama dengan rakan sejawat dari kaum Adam. Kanak-kanak, golongan imigran dan orang kurang upaya dilindungi pejabat Ombudsman yang memperjuangkan hak dan membela nasib mereka. Sektor sukan disubsidi kerajaan Sweden supaya aktiviti sukan dapat disertai semua golongan masyarakat. Dari segi kesenian pula, tidak ramai yang tahu Sweden sebenarnya hanya di belakang Amerika Syarikat dan United Kingdom sebagai pengeksport muzik terbesar di dunia. Walaupun begitu, sumbangan kebudayaan termegah Sweden adalah penganugerahan Hadiah Nobel, yang memberi pengiktirafan kepada individu yang berjaya dalam bidang sastera, keamanan, perubatan dan saintifik.

Apakah pula sumbangan negara-negara Islam hari ini? Apakah peranan yang dimainkan Indonesia, Arab Saudi, Pakistan, Turki, Iran dan negara kita sendiri, dalam meningkatkan maruah kemanusiaan? Mampukah kita berbangga dengan pencapaian masyarakat Islam tanpa perlu merujuk kepada sejarah empayar Abassid, Uthmaniyah, Mughal dan Melaka? Kedengaran ke suara orang Islam dalam memperjuangkan hak-hak wanita dan kanak-kanak, peningkatan taraf hidup, kebudayaan, kesenian, saintifik, kesusasteraan, kesukanan, perubatan dan lain-lain bidang kemanusiaan?

Are we here to produce, or do we simply exist to consume?

*This article marks the conclusion of the Swedish Series

Tagged: ,
Posted in: Sweden