Can The Durian Be Jansson’s Temptation? Swedish Simplicity Vs Malaysian Extravagance Part 2: Food

Posted on February 9, 2007

0


Dalam artikel lepas, kami meramalkan perbezaan antara Sweden dan Malaysia dari segi falsafah senibina dalaman, di mana Sweden lebih pragmatik dan ringkas manakala orang kita, agaknya terpengaruh dengan promosi Warna-Warna Malaysia kelolaan Kementerian Pelancongan, lebih tertarik dengan gaya hiasan yang riuh-rendah dan berbagai-bagai.

Sifat kedua-dua negara ini juga boleh dilihat dalam budaya masakannya. Makanan Malaysia memang terkenal dengan kekayaannya – kaya dengan cita rasa, kaya dengan ramuan dan kaya dengan minyak dan marjerin. Chef-chef asing, misalnya Anthony Bourdain (chef dari New York yang handal dalam masakan Peranchis dan terkenal dengan gaya mutu keunggulan Dunhillnya) terpesona dengan keberanian masakan Malaysia menggunakan berpuluh-puluh rempah ratus dan cili, yang amat ditakuti kebanyakan orang Eropah dan Amerika.Apabila kita kira betapa banyaknya marjerin yang digunakan dalam roti canai, santan yang hadir dalam segala jenis lauk Melayu, ataupun minyak babi yang sering dipakai dalam masakan Cina, bolehlah dirumuskan bahawa tukang-tukang masak kita tak takut mati.

Falsafah makan Sweden mirip kepada senibina dalamannya yang ringkas. Makanan negara ini menggunakan banyak ubi kentang, ikan dan daging. Oleh kerana rempah-ratus dan herba jarang diguna, masakannya bergantung kepada krim dan keju untuk menaikkan kelazatan. Walaupun begitu, ia tidaklah semaju atau sepopular masakan Peranchis dan Itali yang lebih pakar dalam bab menggunakan krim dan keju. Masakan Sweden yang paling dikenali ialah ‘Swedish meatballs’ yang dipopularkan Ikea. ‘Gravlax’ juga agak terkenal tetapi kerana ia seakan-akan ‘smoked salmon’, kebanyakan orang tidak dapat membezakan antara mereka berdua. Satu lagi makanan Sweden yang popular (dan digemari Team kampunghouse) ialah Jansson’s frestelse (Jansson’s Temptation), di mana ubi kentang dihiris halus dan ditabur dalam bekas, diikuti ikan bilis dan bawang besar. Ini diulang beberapa kali seperti lasagna dan krim dituang sebelum dipanggang dalam ketuhar. Ubi kentang yang halus itu sedap benar dilahap dengan ikan bilis masin dan bawang besar yang merangsangkan keenakan, ditambah pula dengan lemak krim. Meleleh air liur aku dibuatnya!

Walaupun masakan Sweden tidak se-‘adventurous’ lauk-pauk kita, ada satu makanannya yang menggentarkan dan boleh mengalahkan durian dalam keupayaannya memengsankan orang. Surstromming ialah sejenis makanan ikan yang dituai (ferment) selama beberapa bulan dalam tin. Baunya disamakan seperti sampah yang dah lama tak dikutip. Jika durian tak dibenarkan dalam hotel-hotel mewah di Malaysia, Surstromming pula dilarang dalam rumah pangsa di Sweden dan hanya boleh dimakan di luar oleh kerana bau masamnya yang teramat sangat.

Posted in: Food, Sweden