Hej Sverige! kampunghouse turns kampunghus

Posted on February 6, 2007

2


Kampunghouse memang sudah lama terpesona dengan Sweden, sebuah negara Skandinavia yang mendahului dunia dalam aspek peningkatan taraf hidup, kesaksamaan wanita dan kanak-kanak serta pengurangan jurang ekonomi antara yang kaya dan yang papa. Sweden diiktiraf sebagai sebuah negara liberal yang mengutamakan kebebasan bersuara, menghormati hak kemanusiaan dan memperjuangkan peningkatan sosial warganegaranya. Walaupun begitu, negara ini tidak pula sibuk bersyarah kepada negara lain dan memaksa mereka mencontohi gaya politik, sosial atau ekonomi Sweden.

Seperti juga masyarakat lain yang kompleks dan berbagai dimensi, Sweden tidaklah sempurna dan mempunyai banyak percanggahan dan masalah dalaman. Ia sering dianggap sebagai sebuah ‘nanny state’ di mana kerajaan terlalu mempengaruhi dan campur tangan dalam hal persendirian rakyatnya. Orang Sweden sendiri selalu dituduh terlalu menghargai etika ‘kebiasaan’ (lebih tepat, average atau mediocrity). Etika ini berasas dari konsep Jantelagen (Law of Jante) yang terlalu memberatkan kesaksamaan, sehinggakan mereka yang mahu menjadi lebih bagus, hebat atau kaya dicela dan dimaki-hamun (tapi taklah sampai dipijak-pijak).

Bermula dari artikel ini, kami merancang untuk memaparkan rencana-rencana bertemakan Sweden bagi membandingkan persamaan dan perbezaan antara Malaysia dan negara itu. Adakah adil untuk membandingkan negara kita, sebuah negara membangun, dengan Sweden, yang merupakan antara negara terkaya dan termaju di dunia? Tidak ada gunanya kita membandingkan Malaysia dengan negara setaraf, seperti Thailand dan Turki, ataupun negara lebih miskin, seperti Angola dan Honduras, hanya supaya kita dapat mendabik dada di atas kemegahan dan kekayaan kita di kalangan negara-negara papa dan mundur itu.

Perbezaan antara kedua-dua negara ini paling ketara dari segi iklim, komposisi kaum, budaya politik dan sosial. Walaupun begitu, terdapat banyak persamaan yang dikongsi bersama. Walaupun iklimnya berbeza, tetapi kedua-dua negara mempunyai cuaca terlampau; Malaysia dengan panas dan lembapnya yang membakar dan melekitkan badan, Sweden pula dengan cuaca sejuknya yang memuramkan orangnya. Ada yang berpendapat budaya arak Sweden yang minum untuk mabuk adalah disebabkan iklim menggigil mereka sehinggakan rakyatnya tidak dapat bergembira tanpa pengaruh arak. Sweden tergolong dalam ‘Vodka Belt’ yang merupakan gagasan negara-negara kuat minum yang termasuk Rusia, Norway dan Poland.

Seperti Malaysia, Sweden juga bermula sebagai sebuah negara pertanian, dan jika Malaysia terkenal dengan pelakon amatur pornografinya, Sweden juga merupakan tuan rumah kepada industri filem lucah ternama, disebabkan rakyatnya yang berambut emas, paras rupa yang segak dan lawa, serta buah dada yang memang semulajadi besar dan gagah perkasa.