Malaysia – Pengeksport Elektronik, Pengimport Gaya Hidup

Posted on January 31, 2007

2


Antara penggerak utama ekonomi Malaysia ialah sektor eksport yang diterajui industri pemasangan alat elektronik. Kebanyakan produk yang kita bangga-banggakan sebagai ‘Made In Malaysia’ hanyalah itu; ia dibuat saja di negara kita, tetapi idea produknya dirancang dan difikirkan orang-orang asing, yang sememangnya lebih kreatif dari rakyat tempatan. Satu lagi kebanggaan orang Malaysia ialah pusat-pusat membeli-belah gergasi yang berleluasa di Lembah Klang. Tetapi, apa sebenarnya yang boleh dibanggakan sangat? Jenama-jenama fesyen popular rata-ratanya jenama luar, seperti FCUK dan Topshop (UK), Esprit (USA), Mambo (Australia), Puma (Jerman) dan Zara (Sepanyol). Walaupun kita mempunyai beberapa pereka fesyen yang berdaya kreatif tinggi, kebanyakan jenama Malaysia, seperti Pink Jambu, Zang Toi, Bernard Chandran dan Rizalman lebih tertumpu kepada pasaran ‘niche’ dan tidak mempunyai tarikan luas bagi pasaran ‘mainstream’.

Pasaran reka bentuk dalaman rumah didominasi gergasi Sweden, Ikea, yang tidak dinafikan memang sukar untuk dicabar syarikat-syarikat tempatan oleh kerana Ikea mempunyai kelebihan ‘economies of scale’ dan kepakaran pereka bentuk dalaman gaya ‘Scandinavian minimalism’ yang mempunyai tarikan luas. Walaupun begitu, kita bolehlah mendabik dada dengan pereka bentuk dalaman Malaysia seperti Gudang Damansara, Khazanah, Pucuk Rebung dan Ombak yang mempopularkan gaya ‘Asia tropika baru’. Kami agak terkilan kerana nama-nama syarikat ini memberi ilusi Malaysia, tetapi sebenarnya kebanyakan produk mereka diimport dari negara-negara Asia Tenggara seperti Cambodia, Myanmar, Filipina dan Indonesia. Walaubagaimanapun, negara-negara miskin ini memerlukan pasaran luar bagi meningkatkan taraf hidup penduduk mereka, oleh itu wajarlah kita memberi sokongan ekonomi kepada jiran-jiran kita.

Dari segi industri M&M (Makan & Minum, ala F&B), Malaysia bolehlah berbangga sedikit kerana syarikat-syarikat kecil dan sederhana, baik restoran tempatan mahupun francais, masih boleh bersaing dengan syarikat-syarikat asing seperti Nandos, KFC dan TGIF. Kami tidak selesa dengan strategi Starbucks yang cuba mendominasi pasaran minuman kopi dengan meletakkan lebih dari satu kedainya di sesebuah pusat membeli-belah. Kami menyambut baik usaha sesetengah pengusaha restoran tempatan mencabar dominasi Starbucks, Coffee Bean dan sekutu lainnya dari Amerika Syarikat dengan memperkenalkan minuman-minuman seperti Ice Blended Teh Serai, Limau Nipis Halia dan lain-lain lagi inovasi yang sememangnya menampakkan citarasa Malaysia dan baik untuk kesihatan.

Posted in: Society