Patutkah Sistem Kuota Dimansuh? Pandangan Seorang Melayu Yang Mementingkan Diri Sendiri

Posted on January 29, 2007

3


Semakin ramai orang Melayu berpendapat sistem kuota yang mengutamakan Bumiputra tidak efisyen, kerana ia memberi ganjaran kepada orang yang tidak sepatutnya diganjari, manakala mereka yang berhak di kedudukannya dicemuh kerana disangka mendapat ganjaran hanya disebabkan status Bumiputra mereka.Hasilnya, ekonomi dan masyarakat Melayu kian mundur. Sebagai seorang Melayu yang ingin mendiami negara maju, yang mahukan yang terbaik, tak kisahlah bandaraya terbaik, sistem pengangkutan terbaik, hospital terbaik- asalkan terbaik- saya risau sistem kuota yang tidak efisyen ini akan menyebabkan orang Melayu terus miskin dan berpuas hati sekadar menjual pisang goreng dan lemang di tepi jalan, yang bukan sahaja menyayat hati bahkan memalukan.

Mengapakah polisi kuota ini sebenarnya boleh merugikan dan meruntuhkan keupayaan orang Melayu? Polisi kurang efisyen ini tidak memberikan insentif untuk berjaya, ia tidak merangsangkan daya saing, ia memberikan ilusi palsu, yakni, sesuatu hasil itu lebih senang dicapai daripada realitinya. Sebagai contoh, katalah suatu peperiksaan itu berjumlah 100%, dan markah kelulusan ialah 80%. Sekiranya sistem kuota dikuatkuasakan, hasilnya serupa seperti menurunkan kelulusan kepada, katalah 50%. Oleh itu, lebih ramai pelajar akan mengulangkaji sekadar lulus 50%, padahal sekiranya diberitahu markah lulus tetap 80%, pelajar-pelajar yang sama ini akan mengulangkaji dengan lebih gigih.

Kesimpulannya, sistem kuota Bumiputra memberi subsidi kepada mereka yang leka, dan tidak menawarkan insentif untuk mencapai kejayaan penuh. Oleh itu, pada pendapat saya yang mementingkan diri sendiri ini, polisi kuota Bumiputra, walaupun bertujuan mulia menolong masyarakat Melayu yang dilanda kemiskinan, sebenarnya mencacatkan kita dan menghindarkan kita daripada menjadi yang terbaik. Saya khuatir, sistem ini, yang seakan-akan memberikan pingat emas kepada pelari terakhir, akan menyebabkan orang Melayu bukannya mudah lupa, seperti kata Mahathir, tetapi mudah leka.

Polisi inilah yang menyebabkan universiti-universiti kita dikerumuni siswa-siswa yang tidak berdaya saing, dan diterajui pensyarah-pensyarah yang lebih teruk daya saingnya. Inilah yang menyebabkan kedudukan universiti tempatan merosot dibandingkan dengan institusi-institusi pelajaran lain di dunia. Ini kerana, di dunia, pingat emas tetap dihadiahkan kepada pelari pertama, seperti yang sepatutnya. Sebagai seorang Melayu yang mementingkan diri sendiri, saya hendak negara kita mendapat kehormatan mempunyai universiti bertaraf dunia, yang diterajui pelajar, pensyarah serta para profesor yang berintelek tinggi dan paling terdidik.

Bumiputra tidak boleh lagi berlakon sebagai orang kurang upaya, bukan sahaja kerana lakonan kita tidak dipercayai, tetapi kerana ia bukanlah watak kita yang sebenar. Orang Melayu taklah sebodoh, semalas dan selembap seperti yang kita mahu orang sangka. Sekiranya kita betul-betul mempunyai semangat dan daya saing yang tinggi, kita berupaya untuk maju dan berjaya dalam apa saja ruang yang kita kehendaki, baik dalam hal perdagangan, agama, sosial, saintifik mahupun kekeluargaan. Masalahnya sekarang, saya rasa sistem kuota kita tidak dapat menghidupkan semangat dan daya saing yang begitu penting agar kita beroleh kejayaan.

Advertisements
Posted in: Society