Rakyat Malaysia Bertambah Gemuk

Posted on January 25, 2007

6


Kami sebenarnya agak keberatan untuk mengulas topik yang agak sensitif ini, kerana kami pun sebenarnya mempunyai masalah berat badan, walaupun tak terlalu kronik. Perkembangan ekonomi mantap Malaysia yang membanggakan diikuti dengan perkembangan perut rakyatnya yang kurang membanggakan. Ini memberi kebimbangan bukan sahaja kerana kos kesihatan yang akan melambung, tetapi yang lebih penting, orang Malaysia seperti kami akan kelihatan kurang segak.

Badan yang semakin gemuk bukan sahaja menyukarkan pergerakan dan merangsangkan perpeluhan, malah menyebabkan rambut kurang bersinar, kulit kurang bermaya dan mata kurang segar, ciri-ciri yang amat dititikberatkan oleh kaum wanita mahupun lelaki di zaman moden ini. Apakah yang menyebabkan fenomena ‘tayar pancit’? Malaysia sebenarnya mempunyai banyak persamaan dengan negara tergemuk dunia, Amerika Syarikat. Seperti negara itu, Malaysia mempunyai budaya berkereta yang amat kuat, disebabkan cuaca kita yang tidak sesuai untuk pejalan kaki dan sistem pengangkutan awam yang tidak komprehensif dan teratur.

Oleh itu, rakyat Malaysia tidak banyak bergerak dalam aktiviti seharian mereka, kecuali apabila membeli-belah di Suria KLCC ataupun One Utama yang boleh membabitkan perjalanan kaki beberapa kilometer. Ditambah pula dengan masakan Malaysia yang amat kaya dengan santan, margerin dan selalu pula digoreng, kita tidak bolehlah berpura-pura terkejut apabila mendapati perut kita mula berlapis-lapis. Bagaimana kita hendak mengatasi masalah ini? Oleh kerana cuaca kita tidak mengizinkan pergerakan ‘casual’, kita terpaksalah bersenam di gymnasium ataupun bersukan. Janganlah pula berebut-rebut ke Midvalley dan berboling, kerana kami tak pasti sekiranya boling boleh melangsingkan badan. (Percayalah, kami dah cuba)

Dalam hal pemakanan, tidak dinafikan memang susah untuk mengelak makanan yang bersantan dan bergoreng, apalagi orang Malaysia, baik Melayu, Cina mahupun India, amat pakar dalam bab goreng-menggoreng. Tetapi, dari asyik menggoreng segala jenis daging, cubalah memanggang atau merebus. Santan juga boleh ditukar dengan yoghurt rendah lemak; walaupun rasanya akan berbeza, kami gerenti ia masih enak untuk dilahap. Kami telah memulakan gaya pemakanan yang lebih sihat, dan ia sudah mula menunjukkan perkembangan yang positif, atau lebih tepat, kecutan perut yang positif. Memanglah, seperti kata sebuah iklan minyak sawit popular, goreng pun sodap!, tetapi demi kesihatan, kami rela memanggang ayam kami.

Posted in: Food, Society