Orang Malaysia Anti-Muzium

Posted on January 23, 2007

6


Tahun ini telah dipilih sebagai Tahun Melawat Malaysia. Memanglah negara kita terkenal dengan pantai, hutan simpanan dan pulau-pulau yang indah, tetapi bagi mereka yang inginkan aktiviti dalaman, apakah yang dapat mereka lakukan selain membeli belah? Di negara-negara maju seperti United Kingdom, Peranchis dan Australia, muzium dan galeri merupakan tarikan pelancong yang amat popular. Di Malaysia, walaupun kita mempunyai beberapa muzium yang terkenal seperti Muzium Terengganu dan Kuching, secara umumnya pameran muzium di Malaysia berkualiti rendah dan tidak begitu menarik. Persoalannya, adakah pameran itu tidak menarik kerana kurangnya minat dari rakyat Malaysia, ataupun rakyat Malaysia kurang minat kerana pameran itu tidak menarik. Bak kata orang putih, yang mana datang dulu, ayam ke telur?

Pada bulan Julai lepas, heboh di surat khabar mengenai pameran alam ghaib di Muzium Shah Alam. Pameran ini diadakan berikutan sambutan hangat yang diterima pameran hantu di Muzium Negara, di mana beribu-ribu pengunjung berpusu-pusu untuk melihat hantu kesukaan mereka. Pada mulanya, kami agak anti dengan pameran hantu ini, kerana ia menunjukkan orang Malaysia, terutamanya orang Melayu, hanya minat pada perkara-perkara ghaib dan tahyul. Pameran-pameran yang lebih berfaedah tidak pula dikunjungi. Apalah orang Malaysia ni. Pameran tahyul Shah Alam ini, seperti yang kami jangka, menarik banyak pengunjung, rata-ratanya orang Melayu. Ini mungkin disebabkan kebanyakan makhluk alam ghaib yang dipamerkan berasal dari dunia tahyul Melayu, seperti ikan duyung, toyol, langsuir dan berbagai-bagai lagi. Adakah orang India, Cina dan lain lain tidak mempunyai hantu sendiri?

Setelah berkunjung ke muzium Shah Alam, kami berasa terkilan kerana pameran itu tidak memberangsangkan langsung. Ia lebih mirip kepada ‘rumah hantu’ yang popular di funfair bergerak. Alangkah baiknya sekiranya diadakan pameran zaman purba Mesir, songket, warisan Baba-Nyonya (ini pernah dipamerkan di Muzium Negara tetapi ia tidak menarik) dan senibina moden dan lama. Aih, banyaknya peluang terlepas.

Posted in: Culture, Society