Shilpa Shetty, dan Budaya Ragging Malaysia

Posted on January 22, 2007

6


Baru-baru ini dunia digemparkan dengan kontroversi bintang Bollywood Shilpa Shetty dibuli dan dipersenda oleh selebriti Britain gred-B sehingga beliau menangis. Selintas pandang, Shilpa Shetty, yang dianugerahi paras rupa yang lawa, kepintaran dan adab yang tinggi, adalah calon paling akhir untuk dibuli. Kita selalunya menganggap orang yang hodoh, bodoh ataupun terlalu gemuk sahaja yang akan dibuli, tetapi di dalam rancangan Big Brother, orang-orang ini pula yang membuli. Orang-orang ini berani bermulut celupar dan membuli -walaupun bermuka buruk dan selekeh- kerana mereka merupakan majoriti di dalam rancangan itu. Fenomena ini, yang dipanggil ‘pack mentality’ di mana jumlah pembuli melebihi mangsa mereka, membentuk asas kebanyakan kes buli.

Di Malaysia, fenomena buli yang dikenali sebagai ‘ragging’ bukan sahaja berleluasa, malah diberikan lampu hijau oleh pihak sekolah dan institusi pelajaran tinggi kerana ia dianggap sebagai satu langkah dalam proses kematangan pelajar. Selama berdekad-dekad, pelajar baru di sekolah-sekolah asrama dan elit dipaksa melakukan tugasan yang memalukan dan diperlakukan lebih hina daripada orang gaji Indonesia. Sewaktu acara ‘ragging’ ini berlangsung, naiklah ego dan kembanglah hidung pelajar-pelajar senior apabila dipanggil ‘abang’ dan diberi peluang merasa seperti bos oleh pelajar lain yang takut diterajang.

Tidak ada negara lain (setahu kami lah) di mana budaya pelajar ‘senior’ begitu kuat. Di Malaysia, senioriti dan umur lebih dititikberatkan daripada tahap intelek. Ragging masih dibenarkan di Malaysia, kerana kami sangka orang-orang atasan merupakan mangsa buli yang akhirnya mencapai tahap senior dan melaksanakan sistem ragging ini sendiri. Kami tidak pernah di-ragging kerana sekolah kami tidak mengamalkan budaya jijik ini. Jelaslah, ragging sebenarnya boleh dibanteras sekiranya wujud polisi ketat oleh pihak sekolah yang tidak bertolak-ansur dalam hal ini.

Selebriti gred-B (yang hodoh, selekeh dan menggelebeh) yang membuli Shilpa Shetty dihentam keras kerana perilakunya yang jahat itu. Balasan yang sama seharusnya diberikan kepada ‘abang-abang’ di sekolah-sekolah dan asrama Malaysia yang tahu benar kelakuan mereka itu menjijikkan tetapi tidak mahu berhenti kerana tidak dibanteras.

Posted in: Society