Ali, Ah Chong dan Muthu – Bukti Masyarakat Harmoni Malaysia

Posted on November 21, 2006

0


Tentunya kita semua pernah terlintas nama-nama ini. Ali, Muthu dan Ah Chong. Siti, Swee San dan Devi. Mereka merupakan antara koleksi nama-nama yang digunapakai buku teks di sekolah-sekolah seluruh Malaysia, baik SRK Jalan Hang Tuah di Kuala Lumpur mahupun SK Banggol Peradong di Kuala Terengganu. Sudah menjadi satu kelaziman untuk memaparkan nama-nama tersebut secara saksama, bertujuan mengeratkan hubungan antara kaum. Walaubagaimanapun, segelintir pihak merasa tersisih kerana nama-nama ahli komuniti mereka tidak diberi perhatian yang sewajarnya. Pandak anak Japit, seorang suku ahli Senoi yang menetap di Taman Negara Pahang, melahirkan rasa kesal beliau ke atas rakyat Malaysia yang tidak mengendahkan penduduk asal negara ini. “Saya merasa seperti warga asing di tanah sendiri. Kami juga mempunyai hak mengundi,” ujarnya sambil menyumpit seekor rusa liar.

Nur Sheireina Surieyatie Mat Derus, seorang penuntut IPTA menyeru penerbit buku teks untuk menukar nama-nama ketinggalan zaman itu. “Ahmad, Rama dan Ah Chin tidak menggambarkan situasi masyarakat Malaysia moden,” katanya, merujuk kepada kegemaran sesetengah keluarga Melayu menambahkan huruf ‘i’ dan ‘e’ merata-rata nama anak mereka, seperti yang diperlakukan bapanya sendiri. Antara yang bersetuju dengan pendapatnya ialah seorang Lim Ah Chong, yang merupakan antara nama termasyur di kalangan nama-nama buku teks. Namanya sering digunakan dalam buku teks Pendidikan Moral, dan ini telah menyebabkan orang ramai menaruh harapan menggunung tinggi terhadap perilaku Ah Chong.

“Setiap kali saya memijak rumput ataupun membuang sampah di tepi jalan, orang ramai akan memandang saya satu macam,” ujarnya. “Bukan sekali dua saya ditegur kerana meludah di tempat awam,” tambahnya lagi, yang sebenarnya merupakan seorang samseng yang mempunyai pertalian darah dengan ketua sindiket DVD cetak rompak di Cheras.

Posted in: "News"