Di Malaysia, fenomena buli yang dikenali sebagai ‘ragging’ bukan sahaja berleluasa, malah diberikan lampu hijau oleh pihak sekolah dan institusi pelajaran tinggi kerana ia dianggap sebagai satu langkah dalam proses kematangan pelajar. Selama berdekad-dekad, pelajar baru di sekolah-sekolah asrama dan elit dipaksa melakukan tugasan yang memalukan dan diperlakukan lebih hina daripada orang gaji Indonesia. Sewaktu acara ‘ragging’ ini berlangsung, naiklah ego dan kembanglah hidung pelajar-pelajar senior apabila dipanggil ‘abang’ dan diberi peluang merasa seperti bos oleh pelajar lain yang takut diterajang.
Tidak ada negara lain (setahu kami lah) di mana budaya pelajar ’senior’ begitu kuat. Di Malaysia, senioriti dan umur lebih dititikberatkan daripada tahap intelek. Ragging masih dibenarkan di Malaysia, kerana kami sangka orang-orang atasan merupakan mangsa buli yang akhirnya mencapai tahap senior dan melaksanakan sistem ragging ini sendiri. Kami tidak pernah di-ragging kerana sekolah kami tidak mengamalkan budaya jijik ini. Jelaslah, ragging sebenarnya boleh dibanteras sekiranya wujud polisi ketat oleh pihak sekolah yang tidak bertolak-ansur dalam hal ini.
Selebriti gred-B (yang hodoh, selekeh dan menggelebeh) yang membuli Shilpa Shetty dihentam keras kerana perilakunya yang jahat itu. Balasan yang sama seharusnya diberikan kepada ‘abang-abang’ di sekolah-sekolah dan asrama Malaysia yang tahu benar kelakuan mereka itu menjijikkan tetapi tidak mahu berhenti kerana tidak dibanteras.