Posted by kampunghouse on February 9, 2007
Dalam artikel lepas, kami meramalkan perbezaan antara Sweden dan Malaysia dari segi falsafah senibina dalaman, di mana Sweden lebih pragmatik dan ringkas manakala orang kita, agaknya terpengaruh dengan promosi Warna-Warna Malaysia kelolaan Kementerian Pelancongan, lebih tertarik dengan gaya hiasan yang riuh-rendah dan berbagai-bagai.
Sifat kedua-dua negara ini juga boleh dilihat dalam budaya masakannya. Makanan Malaysia memang terkenal dengan kekayaannya – kaya dengan cita rasa, kaya dengan ramuan dan kaya dengan minyak dan marjerin. Chef-chef asing, misalnya Anthony Bourdain (chef dari New York yang handal dalam masakan Peranchis dan terkenal dengan gaya mutu keunggulan Dunhillnya) terpesona dengan keberanian masakan Malaysia menggunakan berpuluh-puluh rempah ratus dan cili, yang amat ditakuti kebanyakan orang Eropah dan Amerika.Apabila kita kira betapa banyaknya marjerin yang digunakan dalam roti canai, santan yang hadir dalam segala jenis lauk Melayu, ataupun minyak babi yang sering dipakai dalam masakan Cina, bolehlah dirumuskan bahawa tukang-tukang masak kita tak takut mati.
Falsafah makan Sweden mirip kepada senibina dalamannya yang ringkas. Makanan negara ini menggunakan banyak ubi kentang, ikan dan daging. Oleh kerana rempah-ratus dan herba jarang diguna, masakannya bergantung kepada krim dan keju untuk menaikkan kelazatan. Walaupun begitu, ia tidaklah semaju atau sepopular masakan Peranchis dan Itali yang lebih pakar dalam bab menggunakan krim dan keju. Masakan Sweden yang paling dikenali ialah ‘Swedish meatballs’ yang dipopularkan Ikea. ‘Gravlax’ juga agak terkenal tetapi kerana ia seakan-akan ’smoked salmon’, kebanyakan orang tidak dapat membezakan antara mereka berdua. Satu lagi makanan Sweden yang popular (dan digemari Team kampunghouse) ialah Jansson’s frestelse (Jansson’s Temptation), di mana ubi kentang dihiris halus dan ditabur dalam bekas, diikuti ikan bilis dan bawang besar. Ini diulang beberapa kali seperti lasagna dan krim dituang sebelum dipanggang dalam ketuhar. Ubi kentang yang halus itu sedap benar dilahap dengan ikan bilis masin dan bawang besar yang merangsangkan keenakan, ditambah pula dengan lemak krim. Meleleh air liur aku dibuatnya!
Walaupun masakan Sweden tidak se-’adventurous’ lauk-pauk kita, ada satu makanannya yang menggentarkan dan boleh mengalahkan durian dalam keupayaannya memengsankan orang. Surstromming ialah sejenis makanan ikan yang dituai (ferment) selama beberapa bulan dalam tin. Baunya disamakan seperti sampah yang dah lama tak dikutip. Jika durian tak dibenarkan dalam hotel-hotel mewah di Malaysia, Surstromming pula dilarang dalam rumah pangsa di Sweden dan hanya boleh dimakan di luar oleh kerana bau masamnya yang teramat sangat.
Posted in Food, Sweden | Tagged: negara Sweden | Leave a Comment »
Posted by kampunghouse on February 6, 2007
Kampunghouse memang sudah lama terpesona dengan Sweden, sebuah negara Skandinavia yang mendahului dunia dalam aspek peningkatan taraf hidup, kesaksamaan wanita dan kanak-kanak serta pengurangan jurang ekonomi antara yang kaya dan yang papa. Sweden diiktiraf sebagai sebuah negara liberal yang mengutamakan kebebasan bersuara, menghormati hak kemanusiaan dan memperjuangkan peningkatan sosial warganegaranya. Walaupun begitu, negara ini tidak pula sibuk bersyarah kepada negara lain dan memaksa mereka mencontohi gaya politik, sosial atau ekonomi Sweden.
Seperti juga masyarakat lain yang kompleks dan berbagai dimensi, Sweden tidaklah sempurna dan mempunyai banyak percanggahan dan masalah dalaman. Ia sering dianggap sebagai sebuah ‘nanny state’ di mana kerajaan terlalu mempengaruhi dan campur tangan dalam hal persendirian rakyatnya. Orang Sweden sendiri selalu dituduh terlalu menghargai etika ‘kebiasaan’ (lebih tepat, average atau mediocrity). Etika ini berasas dari konsep Jantelagen (Law of Jante) yang terlalu memberatkan kesaksamaan, sehinggakan mereka yang mahu menjadi lebih bagus, hebat atau kaya dicela dan dimaki-hamun (tapi taklah sampai dipijak-pijak).
Bermula dari artikel ini, kami merancang untuk memaparkan rencana-rencana bertemakan Sweden bagi membandingkan persamaan dan perbezaan antara Malaysia dan negara itu. Adakah adil untuk membandingkan negara kita, sebuah negara membangun, dengan Sweden, yang merupakan antara negara terkaya dan termaju di dunia? Tidak ada gunanya kita membandingkan Malaysia dengan negara setaraf, seperti Thailand dan Turki, ataupun negara lebih miskin, seperti Angola dan Honduras, hanya supaya kita dapat mendabik dada di atas kemegahan dan kekayaan kita di kalangan negara-negara papa dan mundur itu.
Perbezaan antara kedua-dua negara ini paling ketara dari segi iklim, komposisi kaum, budaya politik dan sosial. Walaupun begitu, terdapat banyak persamaan yang dikongsi bersama. Walaupun iklimnya berbeza, tetapi kedua-dua negara mempunyai cuaca terlampau; Malaysia dengan panas dan lembapnya yang membakar dan melekitkan badan, Sweden pula dengan cuaca sejuknya yang memuramkan orangnya. Ada yang berpendapat budaya arak Sweden yang minum untuk mabuk adalah disebabkan iklim menggigil mereka sehinggakan rakyatnya tidak dapat bergembira tanpa pengaruh arak. Sweden tergolong dalam ‘Vodka Belt’ yang merupakan gagasan negara-negara kuat minum yang termasuk Rusia, Norway dan Poland.
Seperti Malaysia, Sweden juga bermula sebagai sebuah negara pertanian, dan jika Malaysia terkenal dengan pelakon amatur pornografinya, Sweden juga merupakan tuan rumah kepada industri filem lucah ternama, disebabkan rakyatnya yang berambut emas, paras rupa yang segak dan lawa, serta buah dada yang memang semulajadi besar dan gagah perkasa.
Posted in Sweden, This Blog & Others | Tagged: negara Sweden | 2 Comments »