Tahukah Anda Maksud Perkataan Ini?

Posted on November 27, 2006

10


Sekali rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka dan kita dapati bahasa Malaysia yang kita kenali adalah seperti bahasa asing yang perlu diterjemah untuk difahami. Terlalu banyak perkataan baru yang kita tak pernah terlintas. Salah satu sebab ialah penggunaan bahasa pasar dalam pertuturan seharian kita yang tidak akan dapat diubah. Eksperimen bahasa baku yang dipelopori Anwar Ibrahim merupakan antara kegagalan yang paling ketara di antara seluruh eksperimen sosial pembentukan masyarakat Malaysia. Antara perkataan yang jarang digunakan serta kurang difahami ialah ‘dirgahayu’. Setakat apa yang kami ketahui, perkataan ini berkait dengan raja, tetapi maksud sebenarnya tidaklah kami tahu. Dalam satu kajian rambang yang dijalankan ke atas 100 rakyat Malaysia, apabila ditanya ‘Apakah maksud ‘dirgahayu’?’, 97 responden memberikan jawapan ‘tidak tahu’ manakala 3 yang lain merupakan pengarang tetap Kamus Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka.

Seperti kebanyakan bahasa lain, bahasa Malaysia berhadapan dengan cabaran bahasa Inggeris dan kadar ciptaan perkataan dan terminologi yang terlampau pantas. Dewan Bahasa dan Pustaka mengatasi masalah ini dengan meminjam berpuluh puluh terminologi bahasa Inggeris, contohnya teknologi, ekonomi dan ‘anjakan paradigma’, yang terakhir itu antara terminologi kegemaran Anwar Ibrahim semasa beliau masih berkuasa dan belum lagi diterajang bekas Ketua Polis Negara Rahim Noor. Daripada koleksi perkataan pinjaman ini, tidak ada yang lagi pelik dari ‘ide’, yang dipinjam dari ‘idea’. Siapa punya ide memasukkan ayat ini ke dalam bahasa Malaysia hanya orang itu sajalah yang tahu, tetapi apa yang pasti, perkataan ini tidak langsung menggambarkan apa yang dikehendaki. Ia lebih mirip kepada nama warga penduduk Bali seperti Agus, Ketut dan Made.

Satu perkataan yang kurang difahami tetapi sering dituturkan terkandung dalam Rukunegara kita. Walaupun kebanyakan daripada kita, terutamanya murid murid sekolah yang terpaksa membaca ikrar setiap minggu, melafazkan ‘Keluhuran Perlembagaan’, kami sangka kebanyakan dari mereka sebenarnya tidak tahu apa maksud ‘keluhuran’ itu. Bagaimana kita hendak melindungi dan menghormati perlembagaan Malaysia sekiranya kita tidak memahami maksud sebenar ‘keluhuran’ itu sendiri?

About these ads
Posted in: "News"